Pelayanan Antarabangsa Terang Bagi Bangsa-Bangsa Mempersembahkan:
Pengalaman Nyata Syurga dan Neraka
oleh 7 Muda-Mudi
(Berdasarkan pada rekod yang dibuat, kami hanya dapat menterjemah 6 kesaksian)
(Diterjemahkan
Oleh: Alfred Chia)
Lawatan
ke Syurga
Firman
Tuhan dalam 2 Korintus 12:2 mengatakan:Aku tahu tentang seorang Kristen;
empat belas tahun yang lampau -- entah di dalam tubuh, aku tidak tahu, entah
di luar tubuh, aku tidak tahu, Allah yang mengetahuinya -- orang itu tiba-tiba
diangkat ke tingkat yang ketiga dari sorga.
Kami berada
di dalam bilik ketika kami mengalami pengalaman yang pertama. Selepas itu bilik
itu dipenuhi lagi dengan cahaya dalam kehadiran Tuhan. Cahaya itu begitu berkuasa
hingga menyinari seluruh bilik. Bilik itu dipenuhi dengan kemuliaanNya. Ianya
sungguh indah berada di dalam hadiratnya.
Yesus memberitahu
kami, anakKu, sekarang Aku akan menunjukkan kamu KerajaanKu. Kita akan pergi
ke tempat kemuliaanKu. Kami semua berpegangan tangan lalu diangkat ke atas.
Saya memandang ke bawah dan menyedari kami sudah keluar dari tubuh jasmani kami.
Kami berpakaian jubah putih semasa kami meninggalkan tubuh kami. Lalu kami bergerak
ke atas dengan laju sekali.
Kami tiba
di depan pintu masuk Kerajaan Syurga dan kami sungguh takjub apa yang berlaku
ke atas kami. Syukurlah Yesus Anak Allah bersama dengan kami. Dua malaikat yang
bersayap empat juga ada bersama dengan kami ketika itu.
Malaikat itu
mulai berkata dengan kami namun kami tidak memahaminya. Bahasa mereka berbeza
dengan bahasa kami atau mana-mana bahasa di dunia. Malaikat ini menyambut kedatangan
kami lalu membuka pintu yang besar itu. Saya masih ingat ketika kami masuk ke
dalam kami merasa damai yang sempurna di dalam hati. Alkitab memberitahu Tuhan
akan memberi kita damai sejahtera yang melampaui segala akal (Filipi 4:7)
Pertama-tama
yang saya lihat ialah seekor rusa. Lalu saya bertanya teman saya, Sandra,
apakah kamu lihat apa yang saya lihat? Dia tidak lagi menangis atau berteriak
seperti ketika di Neraka. Dia begitu riang dan berkata: ya Esau, saya melihat
rusa itu! Sekarang saya pasti segalanya nyata. Kami memang berada di Kerajaan
Syurga. Semua keseraman Neraka sudah dilupakan. Kini kami sedang menikmati kemuliaan
Tuhan di Syurga. Lalu kami pergi ke tempat rusa itu berada dan di belakangnya
kami lihat suatu pokok yang besar sekali. Ianya berada di tengah-tengah Taman
Firdaus.
Alkitab memberitahu
kita di dalam Wahyu 2:7 Siapa bertelinga, hendaklah ia mendengarkan apa
yang dikatakan Roh kepada jemaat-jemaat: Barangsiapa menang, dia akan Kuberi
makan dari pohon kehidupan yang ada di Taman Firdaus Allah.
Pokok ini
adalah suatu simbol Yesus kerana Kristus adalah Hidup Yang Kekal. Di belakang
pokok ini ialah satu sungai yang jernih seperti kristal. Ianya sangat bersih
dan cantik dan kami tidak pernah melihat sepertinya di dunia. Kami hanya mahu
tinggal tempat ini. Kami berulang-ulang merayu kepada Tuhan, Tuhan tolonglah!
Jangan hantar kami balik! Kami mahu tinggal di sini selama-lamanya! Kami tidak
mahu balik ke bumi! Tuhan menjawab kami, adalah perlu kamu balik ke
dunia untuk memberi kesaksian tentang segala yang sudah Kusediakan bagi yang
mengasihiKu kerana Aku akan datang segera dan ganjarannya adalah bersama denganKu.
Apabila kami
ternampak sungai itu, kami pun bergegas ke sana dan masuk ke dalamnya. Kita
mengingati sabda Tuhan mengatakan barangsiapa percaya Tuhan, dari dalam hatinya
akan mengalir aliran-aliran air hidup. (Yohanes 7:38) Air sungai ini kelihatan
seperti hidup dan kami pun berendam di dalamnya. Samada di dalam atau di luar
sungai ini kami dapat bernafas seperti biasa. Sungai ini sangat dalam dan banyak
ikan yang berbagai-bagai warna berenang di dalamnya. Selain itu, cahaya di dalam
atau di luar sungai ini adalah normal sekali. Di Syurga cahaya tidak datang
dari suatu punca, semuanya dalam keadaan yang terang. Alkitab mengatakan Yesus
adalah terang di kota itu (Wahyu 21:23). Lalu kami mengambil beberapa ikan keluar
dari dalam air dan ikan ini biasa saja dan tidak mati. Kami pun pergi bertanya
Tuhan sebabnya. Tuhan tersenyum dan menjawab di Syurga tidak ada lagi kematian,
tangisan, atau kesakitan. (Wahyu 21:4)
Kami meninggalkan
sungai itu dan berlari ke semua tempat. Kami mahu menyentuh dan menikmati semuanya.
Dan kami ingin membawa semuanya balik ke rumah kerana kami sungguh kagum dengan
benda-benda di Syurga. Dengan kata-kata saja tidak dapat menjelaskan semua ini.
Ketika Rasul Paulus dibawa ke Syurga, dia melihat hal-hal yang tidak dapat dijelaskan
dengan perkataan disebabkan keagungan Syurgawi. (2 Korintus 12) Banyak perkara
yang kami lihat tidak mungkin dapat dijelaskan dengan perkataan.
Lalu kami
sampai ke suatu kawasan besar yang sangat menakjubkan dan indah. Tempat ini
dipenuhi dengan batu-batu permata seperti emas, zamrud, mutiara dan berlian.
Lantainya pula diperbuat dari emas tulen. Lalu kami pergi ke satu tempat di
mana terletaknya tiga buah buku yang sangat besar. Buku pertama ialah satu Alkitab
yang dibuat dari emas. Dalam Mazmur ada mengatakan Firman Tuhan tidak akan berlalu
dan Firman Tuhan tetap teguh di syurga. (Mazmur 119:89) Kami pun melihat Alkitab
emas yang besar ini. Kertas dan tulisan semuanya diperbuat dari emas tulen.
Buku kedua
yang kami lihat adalah lebih besar dari Alkitab ini. Buku ini terbuka dan satu
malaikat sedang duduk menulis sesuatu di dalamnya. Lalu kami besama Tuhan Yesus
mendekati untuk melihat apa yang ditulis malaikat ini. Malaikat ini sedang menulis
semua perkara yang berlaku di dunia. Semua kejadian yang sudah berlaku termasuk
tarikh dan waktunya dicatat di dalam buku ini. Semua ini dibuat supaya Firman
Tuhan dapat digenapi apabila ia mengatakan kitab dibuka dan orang-orang di dunia
akan dihakimi menurut perbuatan mereka berdasarkan apa yang ada tertulis di
dalam kitab-kitab itu. (Wahyu 20:12) Malaikat ini menulis semua perkara yang
dibuat oleh orang di dunia samada baik atau jahat.
Lalu kami
beralih ke tempat di mana letaknya buku yang ketiga dan ianya lebih besar dari
buku yang kedua! Buku ini tertutup namun kami tetap mendekatinya. Melalui perintah
Tuhan, kami semua mengangkatnya dari penyokongnya dan meletaknya pada satu tiang
penyokong yang lain.
Tiang-tiang
di Syurga sangat mengagumkan! Ianya tidak seperti yang ada di bumi. Tiang-tiang
ini dibuat dari batu permata. Ada yang dibuat dari berlian, ada yang dari emas
tulen, dan ada juga yang dari gabungan berbagai-bagai jenis batu. Lalu saya
menyedari Tuhan adalah yang empunya segalanya seperti yang ditulis dalam Hagai
2:8, Emas adalah milikKu, dan perak adalah milikKu. Saya sedari Tuhan
begitu kaya dan dia memiliki semua kekayaan di dunia. Dan saya juga sedari dunia
dengan segala kepenuhannya dimiliki oleh Tuhan dan dia mahu memberi kepada sesiapa
yang memintanya dengan iman.
Tuhan memberitahu
mintalah kepada-Ku, maka bangsa-bangsa akan Kuberikan kepadamu menjadi milik
pusakamu, dan ujung bumi menjadi kepunyaanmu. (Mazmur 2:8) Buku yang kami
letak di atas tiang itu sangat besar sehingga kami perlu berjalan untuk membuka
setiap muka surat buku itu. Kami cuba untuk membaca buku ini seperti yang disuruh
oleh Tuhan. Pada mulanya kami tidak memahaminya kerana ianya ditulis dengan
abjad yang ganjil. Ianya berbeza dari mana-mana bahasa di dunia malah ianya
sesuatu yang syurgawi seluruhnya. Namun dengan pertolongan Roh Kudus kami diberikan
kurnia untuk memahaminya. Ianya seperti ada pembalut dibuka dari mata kami lalu
kami dapat memahami tulisan itu begitu jelas sekali seperti bahasa kami sendiri.
Kami melihat
ketujuh-tujuh nama kami ada tertulis di dalam buku ini. Tuhan memberitahu kami
bahawa buku ini adalah Buku Kehidupan. (Wahyu 3:5) Kami lihat nama yang tertulis
ini tidak sama dengan nama kami di dunia. Nama-nama kami ini semuanya adalah
baru. Maka Firman Tuhan digenapi apabila ia mengatakan Dia akan memberikan kita
nama baru yang tidak diketahui oleh sesiapa pun selain oleh yang menerimanya.
(Wahyu 2:17)
Ketika di
Syurga kami dapat menyebut nama baru kami. Tetapi selepas Tuhan membawa kami
balik ke bumi nama itu sudah dikeluarkan dari ingatan dan hati kami. Firman
Tuhan adalah kekal dan ianya akan digenapi. Saudara, Alkitab mengatakan (Wahyu
3:11) peganglah apa yang ada padamu, supaya tidak seorang pun mengambil mahkotamu.
Berjuta-juta perkara yang menakjubkan terdapat di Syurga dan kami tidak dapat
menjelaskannya dengan perkataan. Namun saya ingin memberitahu kepada anda satu
perkara, Tuhan sedang menanti anda! Meskipun begitu hanya orang yang
bertahan sampai ke akhir akan diselamatkan! (Markus 13:13)
(Kesaksian
Ke-2)
Kami bergerak
ke atas dalam perjalanan ke Kerajaan Syurga sehinggalah kami sampai ke suatu
tempat indah yang berpintukan permata. Kami melihat dua malaikat di hadapan
pintu ini. Mereka mulai bercakap-cakap dalam bahasa malaikat dan kami tidak
memahaminya. Namun Roh Kudus memberi kami pengertian untuk memahaminya. Mereka
menyambut kedatangan kami. Lalu Tuhan Yesus menyentuh pintu itu dan ia pun terbuka.
Sekiranya Tuhan tidak ada bersama dengan kami pada waktu itu, sudah tentu kami
tidak akan dapat masuk ke dalam Syurga.
Kami mulai
menghargai semuanya di syurga. Kami nampak satu pokok yang besar iaitu pohon
kehidupan seperti yang ada dinyatakan dalam Alkitab (Wahyu 2:7). Kami pergi
ke satu sungai dan melihat banyak ikan di dalamnya. Segala-galanya sungguh mengagumkan
lalu saya memutuskan untuk masuk ke dalam sungai itu. Kami menyelam di sana
dan kami melihat ikan-ikan berenang sambil membelai badan kami. Ikan-ikan ini
tidak bergerak lari seperti di bumi kerana hadirat Tuhan menenangkan mereka.
Ikan-ikan ini dapat mempercayai kami kerana mereka tahu kami tidak akan mengapa-apakan
mereka. Saya sungguh diberkati dan kagum sehingga saya memegang seekor ikan
dan mengeluarkannya dari air. Sangat menakjubkan melihat ikan itu tenang di
tangan saya sambil menikmati hadirat Tuhan. Lalu saya memasukkannya balik ke
dalam air.
Saya dapat
melihat pada suatu jarak ada beberapa kuda putih di Syurga seperti yang tertulis
di dalam Wahyu 19:11. Lalu aku melihat sorga terbuka: sesungguhnya, ada
seekor kuda putih; dan Ia yang menungganginya bernama: "Yang Setia dan
Yang Benar", Ia menghakimi dan berperang dengan adil. Kuda-kuda inilah
yang akan digunakan Tuhan apabila Dia datang ke dunia untuk mengambil umatNya.
Saya menghampiri kuda-kuda itu dan membelai mereka. Tuhan turut membelai mereka
dan Dia membenarkan saya untuk menaiki satu daripadanya.
Ketika saya
sedang menunggang kuda itu, saya merasa sesuatu yang saya tidak pernah rasa
di bumi. Saya merasa damai, kebebasan, kasih, dan kekudusan yang mana seseorang
hanya dapat merasakannya di tempat yang indah itu. Saya mulai menikmati semua
pemandangan di sana. Saya hanya mahu menikmati semuanya di Taman Firdaus yang
indah yang Tuhan sudah sediakan bagi kita.
Kami juga
ada melihat meja bankuet perkahwinan. Semuanya sudah siap disediakan. Meja ini
sangat panjang seperti tidak ada permulaan atau hujungnya. Kami juga melihat
kerusi yang disediakan untuk kami. Di sana juga ada mahkota kehidupan untuk
kita menerimanya. Kami melihat makanan yang enak-enak sudah siap untuk semua
yang dijemput ke perjamuan kahwin anak Domba.
Malaikat-malaikat
memegang jubah kain putih yang Tuhan sudah sediakan bagi kita. Saya sungguh
kagum melihat semua ini. Firman Tuhan memberitahu kita harus menerima Kerajaan
Allah seperti kanak-kanak kecil. (Matius 18:3) Semasa kami berada di Syurga
kami seperti kanak-kanak. Kami menikmati semuanya di sana seperti bunga-bunganya,
kediamannya
Malah Tuhan membenarkan kami masuk ke dalam kawasan kediaman.
Lalu Tuhan
membawa kami ke satu tempat yang terdapat banyak kanak-kanak. Tuhan berada di
tengah-tengah mereka dan Dia sedang bermain dengan mereka. Dia memastikan untuk
meluangkan cukup masa dengan setiap mereka dan Dia sangat menikmati saat bersama
mereka. Kami mendekati Tuhan dan bertanya kepadaNya, Tuhan, inikah anak-anak
yang akan dilahirkan ke dunia? Tuhan menjawab tidak, anak-anak ini
adalah yang digugurkan di dunia. Ketika mendengarkan ini saya merasa seperti
digongcangkan.
Saya mengingat
kembali suatu hal yang pernah saya lakukan sebelum ini ketika saya masih belum
mengenal Tuhan. Masa itu saya mempunyai perhubungan dengan seorang wanita dan
dia mengandung. Waktu dia memberitahu saya dia mengandung, saya tidak tahu apa
harus dibuat lalu saya memintanya sedikit masa untuk membuat keputusan. Masa
berlalu dan apabila saya memberitahu keputusan saya kepadanya, ianya sudah terlambat
kerana dia sudah menggugurkan kandungan itu. Dan ini telah mencatatkan suatu
detik yang penting dalam kehidupan saya. Walaupun selepas menerima Tuhan di
dalam hidup saya, pengguguran itu adalah sesuatu yang saya tidak dapat maafkan
bagi diri saya sendiri. Namun Tuhan membuat sesuatu pada waktu itu apabila Dia
membenarkan saya untuk masuk ke tempat itu dan memberitahu saya, Ariel,
engkau nampak tak budak perempuan itu? Itulah anakmu. Apabila Dia memberitahu
saya demikian, saya menoleh ke arah anak itu lalu saya merasa luka lama yang
sudah lama saya alami mulai pulih. Tuhan membenarkan saya menghampirinya dan
dia juga mendekati saya. Saya memegang tangannya dan melihat matanya. Satu perkataan
keluar dari mulutnya, Ayah. Saya faham dan merasa Tuhan menunjukkan
belas kasihan kepada saya dan mengampuni saya. Namun saya perlu belajar untuk
mengampuni diri saya sendiri.
Saudara, sesiapa
saja yang membaca ini saya ingin memberitahu anda satu perkara. Tuhan telah
mengampuni dosa-dosa anda dan sekarang anda perlu belajar untuk mengampuni diri
anda sendiri. Saya bersyukur kepada Tuhan kerana memberi peluang untuk berkongsi
kesaksian ini dengan anda. Tuhan Yesus Kristus, segala kehormatan dan kemuliaan
hanya untukMu! Kesaksian ini adalah dari Tuhan sendiri dan Dia menganugerahkan
kita wahyu ini. Saya berharap agar setiap kita yang membaca kesaksian ini akan
mendapat berkat dan mengongsikan berkat kepada yang lain.
Tuhan memberkati
anda.
(Kesaksian
Ke-3)
(Wahyu 21:4)
Dan
Ia akan menghapus segala air mata dari mata mereka, dan maut tidak akan ada
lagi; tidak akan ada lagi perkabungan, atau ratap tangis, atau dukacita, sebab
segala sesuatu yang lama itu telah berlalu.
Ketika kami
sampai, pintu gergasi ini terbuka bagi kami lalu kami melihat suatu lembah yang
penuh dengan bunga-bungaan. Bunga-bunga ini sangat cantik dan baunya juga sangat
harum. Kami mulai berjalan dan menikmati kebebasan yang penuh tidak seperti
yang kami pernah alami di dunia. Kami merasa damai memenuhi hati kami. Bunga-bunga
yang kami lihat itu sangat unik. Setiap kelopaknya berbeza, tulen, dan mempunyai
warna yang unik.
Di dalam hati
saya berkata kepada Tuhan bahawa saya inginkan satu daripada bunga-bunga itu.
Tuhan hanya memberi isyarat tanda setuju. Lalu saya menghampiri satu bunga dan
cuba menariknya. Namun saya tidak dapat menariknya keluar dari tanah. Saya juga
tidak dapat mencabut kelopak atau daunnya. Akhirnya Tuhan berkata, di sini
semuanya harus dilakukan dengan kasih. Dia hanya memegang bunga itu lalu
bunga itu menyerah di dalam tangan Tuhan dan Tuhan memberikan kepada kami. Semasa
kami bergerak pergi dari sana haruman bunga-bunga itu masih ada pada kami.
Kami sampai
ke satu tempat dengan pintu-pintu yang sangat cantik. Pintu-pintu ini bukannya
yang biasa-biasa saja tetapi buatannya penuh dengan hiasan dan permata. Pintu-pintu
ini terbuka bagi kami lalu kami memasuki ke suatu bilik yang terdapat ramai
orang. Setiap mereka begitu sibuk untuk membuat persediaan. Ada di antara mereka
yang membawa gulungan kain putih yang bersinar di bahu mereka dan ada yang membawa
gelendong yang bergigi emas. Yang lain ada yang membawa beberapa jenis pinggan
yang mengandungi seperti perisai di dalamnya. Setiap orang sedang berusaha membuat
kerja.
Kami bertanya
Tuhan mengapa mereka ini sangat sibuk dan kelam-kabut. Lalu Tuhan memanggil
seorang pemuda yang membawa gulungan kain di bahunya. Dia datang dan melihat
Tuhan dengan penuh hormat. Apabila dia ditanya kenapa dia membawa gulungan kain
itu, dia hanya memandang Tuhan dan berkata, Tuhan, kan Engkau tahu gunanya
kain ini! Kain ini adalah untuk membuat jubah bagi yang ditebus, jubah bagi
Pengantin yang hebat itu. Ketika mendengarkan ini kami merasa sangat sukacita
dan damai. Wahyu 19:8 memberitahu kita: Dan kepadanya dikaruniakan supaya
memakai kain lenan halus yang berkilau-kilauan dan yang putih bersih!"
[Lenan halus itu adalah perbuatan-perbuatan yang benar dari orang-orang kudus.
Ketika kami
keluar dari tempat itu kami merasa damai yang lebih dalam. Semuanya sungguh
bermakna kerana Tuhan sendiri telah menyediakan sesuatu yang baik buat kita.
Dia mempunyai tempat dan masa untuk anda sebab anda sungguh berharga bagi Dia.
Dan semasa kami keluar dari tempat itu, mata kami ingin melihat semua benda
di Syurga. Ianya seperti setiap benda di Syurga hidup dan setiap objek memberi
kemuliaan kepada Tuhan.
Lalu kami
sampai ke satu tempat di mana adanya berjuta-juta kanak-kanak untuk semua umur.
Apabila mereka ternampak Tuhan, mereka semuanya mahu memeluknya untuk merasa
kasihNya kerana Dialah kesayangan mereka. Yesus adalah kesayangan bagi setiap
kanak di sana. Kami sangat terharu melihat bagaimana Tuhan melayani setiap anak-anak
ini dengan mengucup mereka dan memegang tangan mereka.
Kami melihat
malaikat membawa kepada Tuhan bayi yang dibaluti dengan kain. Tuhan membelai
dan mengucup mereka di dahi lalu malaikat ini membawa mereka balik. Kami bertanya
kepada Tuhan mengapa terdapat ramai kanak-kanak di sana. Kami kira itu adalah
bayi yang akan dihantar ke bumi. Tuhan kelihatan tersentuh lalu berkata, tidak,
kanak-kanak ini tidak akan dihantar ke dunia! Mereka ini adalah yang digugurkan
di dunia di mana ibu-bapa mereka tidak mahukan mereka. Mereka ini anak-anakKu
dan Aku mengasihi mereka. Saya menganggukkan kepala. Saya rasa menggigil
untuk bertanya Tuhan hal ini.
Ketika saya
masih belum mengenal Tuhan sebagai yang Benar, Saya membuat kesilapan dan berdosa
seperti yang lain. Antara dosa yang saya lakukan ialah pengguguran. Lalu sampai
waktunya saya perlu berdepan dengan Tuhan dan bertanya kepadaNya, Tuhan,
adakah bayi yang saya gugurkan dahulu berada di sini? Tuhan menjawab, ya.
Saya mulai berjalan di sana dan melihat seorang budak lelaki yang comel. Di
sebelahnya satu malaikat sedang berdiri. Dia melihat Tuhan sementara budak itu
duduk membelakangi kami.
Tuhan memberitahu
saya, lihatlah, itu adalah anakmu. Saya mahu berjumpa dengannya maka
saya berlari kepadanya tetapi malaikat itu mengangkat tangannya menyuruh saya
berhenti. Dia menunjukkan bahawa saya perlu mendengar budak itu terlebih dahulu.
Lalu saya mendengar budak itu mengatakan sesuatu. Dia berkata sambil melihat
kanak-kanak yang lain. Dia bertanya malaikat itu, adakah ayah dan ibu saya
akan ke sini nanti? Malaikat itu menjawab sambil melihat saya, ya,
ayah dan ibumu akan datang ke sini segera.
Saya tidak
tahu mengapa saya diberi keistimewaan untuk mendengar semua ini namun di dalam
hati saya inilah hadiah yang terbaik Tuhan berikan kepada saya. Si kecil ini
tidak bercakap dengan marah atau kecewa mungkin kerana dia tahu kami tidak melahirkannya.
Dia dapat menunggu dengan kasih yang Tuhan letakkan di dalam hatinya.
Kami meneruskan
perjalanan dan saya menyimpan gambaran budak itu di dalam hati saya. Saya sedar
saya perlu berusaha untuk bersama dengannya kelak. Saya mempunyai satu lagi
sebab untuk pergi ke sana iaitu kerana seseorang sedang menunggu saya di Kerajaan
Syurga. Firman Tuhan memberitahu kita di dalam Yesaya 65:19, Aku akan bersorak-sorak
karena Yerusalem, dan bergirang karena umat-Ku; di dalamnya tidak akan kedengaran
lagi bunyi tangisan dan bunyi erang pun tidak.
Kami sampai
ke satu tempat dengan beberapa gunung-gunung yang kecil. Lalu Tuhan datang dan
menari. Di depannya sekumpulan orang berjubah putih mengangkat pohon zaitun.
Mereka menggoncangkan pohon-pohon ini hingga minyak dikeluarkan. Tuhan sudah
menyediakan banyak perkara yang hebat bagi anda! Sekaranglah waktunya anda menyerahkan
hati untukNya.
Tuhan memberkati
anda.
(Kesaksian
Ke-4)
Di dalam Kerajaan
Syurga kami melihat hal-hal yang indah seperti dalam Firman Tuhan 1 Korintus
2:9, Tetapi seperti ada tertulis: "Apa yang tidak pernah dilihat
oleh mata, dan tidak pernah didengar oleh telinga, dan yang tidak pernah timbul
di dalam hati manusia: semua yang disediakan Allah untuk mereka yang mengasihi
Dia.
Pada waktu
kami sampai ke Kerajaan Syurga, kami melihat banyak perkara yang sangat indah
dan menakjubkan. Begitu banyak sekali hal-hal yang mengagumkan untuk menikmati
kemuliaan Tuhan. Ianya sangat istimewa apabila kami sampai ke satu tempat yang
terdapat ramai kanak-kanak. Kami mengagak ada berjuta-juta kanak-kanak di tempat
itu.
Kami melihat
ramai kanak-kanak yang berlainan umur. Di tempat ini dibahagikan kepada bahagian-bahagian
tertentu. Kami melihat suatu tempat seperti rumah bayi untuk umur 2-4 tahun.
Kami menyedari kanak-kanak di Syurga membesar dan terdapat juga satu sekolah
di mana kanak-kanak diajar mengenai Firman Tuhan. Guru-guru di sana adalah malaikat
dan mereka mengajar kanak-kanak lagu penyembahan dan bagaimana meninggikan Yesus
Kristus.
Apabila Tuhan
sampai ke sana, kami dapat melihat keriangan yang besar pada Raja kita. Walaupun
kami tidak dapat melihat mukaNya, namun kami dapat melihat senyumanNya yang
memenuhi seluruh tempat itu. Ketika Dia sampai, semua kanak-kanak berlari kepadaNya!
Di tengah-tengah kumpulan kanak-kanak ini, kami melihat Maria, Ibu Yesus Kristus
semasa di dunia. Dia sangat cantik dan kami tidak melihatnya berada di atas
takhta atau sesiapa yang menyembahnya. Dia adalah seperti wanita yang lainnya
di Syurga. Seperti semua orang lain di dunia dia juga berusaha mendapat keselamatannya.
Dia memakai jubah putih dan talipinggang emas pada pinggangnya. Rambutnya kelihatan
panjang mencecah pinggang.
Di dunia kita mendengar
ramai orang menyembah Maria sebagai ibu kepada Yesus namun saya ingin memberitahu
anda Firman Tuhan yang mengatakan, Akulah jalan dan kebenaran dan hidup.
Tidak ada seorang pun yang datang kepada Bapa, kalau tidak melalui Aku.
(Yohanes 14:6) Yesus Nasaret satu-satunya pintu untuk masuk ke Kerajaan Syurga.
Kami juga
tidak melihat matahari atau bulan di sana. Firman Tuhan dalam Wahyu 22:5 Dan
malam tidak akan ada lagi di sana, dan mereka tidak memerlukan cahaya lampu
dan cahaya matahari, sebab Tuhan Allah akan menerangi mereka, dan mereka akan
memerintah sebagai raja sampai selama-lamanya.
Kami sedang
melihat kemuliaan Tuhan. Sukar baginya kami menjelaskan kengerian neraka, namun
ianya lebih sukar untuk menjelaskan keagungan Firdaus dan kesempurnaan Pencipta.
Semasa kami di sana kami berlari dan ingin melihat semuanya. Kami berbaring
di rumput sambil merasa kemuliaan Tuhan. Ianya sungguh indah merasa hembusan
angin lembut yang membelai muka kami.
Di tengah-tengah
langit kami dapat melihat satu salib yang besar dibuat dari emas tulen. Kami
percaya ianya bukan seperti suatu simbol berhala tetapi lebih kepada simbol
yang menunjukkan bahwa melalui kematian Yesus di salib kita dapat masuk ke Kerajaan
Syurga.
Kami terus
berjalan dengan Yesus. Ianya sungguh indah berjalan dengan Tuhan Yesus Kristus.
Di sana kami pasti siapa Tuhan yang kami layani
Yesus Kristus. Banyak orang
di dunia yang berfikir bahawa adanya Tuhan di atas yang hanya menunggu manusia
untuk berbuat dosa supaya Dia menghukum kita dan menghantar kita ke neraka.
Tetapi itu tidak benar. Kami melihat Yesus adalah sebaliknya iaitu Yesus yang
adalah teman sejati kita. Yesus yang menangis apabila kita menangis. Yesus adalah
Tuhan yang mengasihi, berbelas kasihan, dan mengampuni. Dia memimpin kita di
dalam tanganNya untuk menolong kita menuju keselamatan.
Tuhan juga
membawa kami melihat seorang tokoh dalam Alkitab. Kami berjumpa dengan Raja
Daud. Paras rupanya sangat tampan, tubuhnya tinggi, dan wajahnya memancarkan
kemuliaan Tuhan. Sepanjang waktu semasa kami di Syurga, kami melihat Raja Daud
hanya menari sambil memberi kemuliaan dan kehormatan kepada Tuhan.
Kepada sesiapa
yang membaca kesaksian ini, saya ingin memberitahu anda Firman Tuhan di dalam
Wahyu 21:27 Tetapi tidak akan masuk ke dalamnya sesuatu yang najis, atau
orang yang melakukan kekejian atau dusta, tetapi hanya mereka yang namanya tertulis
di dalam kitab kehidupan Anak Domba itu. Dan saya juga ingin memberitahu
anda bahawa hanya yang bertahan saja mendapat bahagian dalam Kerajaan Syurga.
Tuhan memberkati
anda.
(Kesaksian
Ke-5)
(2 Korintus
5:10)
Sebab
kita semua harus menghadap takhta pengadilan Kristus, supaya setiap orang memperoleh
apa yang patut diterimanya, sesuai dengan yang dilakukannya dalam hidupnya ini,
baik ataupun jahat.
Di dalam Kerajaan
Syurga, kami melihat Yerusalem Baru seperti yang dinyatakan di dalam Yohanes
14:2, Di rumah Bapa-Ku banyak tempat tinggal. Jika tidak demikian, tentu
Aku mengatakannya kepadamu. Sebab Aku pergi ke situ untuk menyediakan tempat
bagimu. Kami dapat melihat kota itu dan memasukinya. Ianya sangat nyata
dan indah! Yesus pergi ke tempat itu untuk menyediakan tempat kediaman bagi
kami.
Di dalam kota
itu kami melihat setiap tempat kediaman atau rumah ditulis nama pemunya di depan
rumah itu. Kota itu belum lagi didiami tetapi ianya sudah tersedia bagi kita.
Kami dibawa masuk ke dalam rumah-rumah itu dan melihat semua yang ada di dalam
sana. Namun selepas kami meninggalkan kota itu kami tidak mengingat apa yang
kami lihat kerana memori itu sudah dihilangkan dari fikiran kami. Bagaimanapun
kami masih ingat tiang-tiang rumah di sana disaluti dengan logam yang berharga
dan bertatahkan dengan berbagai jenis permata. Selain itu emas tulen juga ada
pada tiang ini.
Seperti yang
dikatakan oleh Alkitab emas di kota ini lut sinar dan sangat bercahaya. Gemerlapan
dan kecantikan emas di Syurga tiada tandingannya dengan emas di dunia.
Selepas itu
kami dibawa ke satu tempat yang terdapat banyak bekas-bekas. Di dalam bekas
ini adalah air mata yang dibekukan. Air mata ini adalah dari tangisan anak-anak
Tuhan di bumi. Air mata ini bukannya air mata aduan tetapi air mata orang-orang
ketika mereka di dalam hadirat Tuhan semasa mereka bertaubat atau bersyukur.
Tuhan menyimpan air mata ini di Syurga sebagai sesuatu yang bernilai seperti
yang dinyatakan di dalam Mazmur 56:9, Sengsaraku Engkaulah yang menghitung-hitung,
air mataku Kautaruh ke dalam kirbat-Mu. Bukankah semuanya telah Kaudaftarkan?
Kami juga
pergi ke satu tempat di mana banyak malaikat di sana. Walaupun di Syurga ada
berbagai jenis malaikat, di tempat ini cuma ada satu sahaja. Yesus memberi satu
malaikat untuk setiap kami. Dia juga menunjukkan kami malaikat ini akan berada
dekat dengan kami sepanjang kewujudan kami. Dia memperkenalkan kami dengan malaikat
yang ditugaskan untuk kami. Kami dapat melihat perwatakannya namun Tuhan tidak
membenarkan kami memberitahunya kepada orang lain. Dalam Mazmur 91:11, sebab
malaikat-malaikat-Nya akan diperintahkan-Nya kepadamu untuk menjaga engkau di
segala jalanmu.
Lalu kami
pergi ke satu tempat yang terdapat banyak almari. Di dalamnya terdapat berbagai
jenis bunga. Ada di antaranya yang terbuka, cantik dan segar. Namun ada juga
yang nampak layu dan ada juga yang kering. Kami bertanya Yesus apa maknanya
bunga-bunga itu. Dia menjawab, ini adalah kerana kehidupan anda adalah seperti
satu dari bunga-bunga ini. Dia mengambil bunga yang segar dan berkata,
bunga ini menunjukkan keadaan perhubunganmu denganKu. Lalu Dia mengambil
satu bunga yang layu dan berkata, lihat, orang ini bersedih kerana mengalami
pencubaan atau kesukaran. Ada sesuatu di dalam hidupnya yang menghalang perhubungannya
denganKu. Tahukah engkau apa yang Kuperbuat ketika mereka bersedih supaya mereka
segar dan sihat kembali? Lalu Dia mengambil bunga itu ke dalam tanganNya
dan berkata, Aku akan menangisinya dan air mataKu akan membangkitkan mereka
kembali. Kami melihat bunga ini dengan ajaibnya hidup kembali dan warnanya
juga mulai kelihatan.
Lalu Dia mengambil
satu bunga yang sudah kering lalu membuangnya ke dalam api dan berkata, lihat,
orang ini pernah mengenalKu namun berpaling dariKu. Sekarang dia mati tanpaKu
dan di buang ke dalam api. (Yohanes 15:5-6)
Semasa kami
meninggalkan tempat itu, kami ternampak satu istana dari jauh. Tiada siapa yang
berani mendekati istana itu. Kami yakin ia adalah yang seperti dikatakan dalam
Wahyu 22:1, lalu ia menunjukkan kepadaku sungai air kehidupan, yang jernih
bagaikan kristal, dan mengalir ke luar dari takhta Allah dan takhta Anak Domba
itu. Kami yakin istana itu letaknya berdekatan dengan hadirat dan takhta
Tuhan.
Ketika kami
mengalami semua ini sewaktu di Kerajaan Syurga, kami sangat bersukacita dan
kami mendapat damai yang tidak terkatakan. (Filipi 4:7) Lalu kami memahami seperti
yang tertulis di dalam 1 Petrus 1:4, untuk menerima suatu bagian yang tidak
dapat binasa, yang tidak dapat cemar dan yang tidak dapat layu, yang tersimpan
di sorga bagi kamu.
(Kesaksian
Ke-6)
(lukas 22:30)
bahwa
kamu akan makan dan minum semeja dengan Aku di dalam Kerajaan-Ku dan kamu akan
duduk di atas takhta untuk menghakimi kedua belas suku Israel.
Di tempat
yang sungguh mengkagumkan itu, Tuhan membawa kami untuk melihat dewan perjamuan
yang paling cantik yang pernah kami lihat. Kami melihat satu takhta yang sangat
besar dengan dua kerusi diperbuat dari emas tulen dan permata yang tidak wujud
di bumi. Di hadapan takhta itu ialah satu meja yang tidak berkesudahan panjangnya.
Di atas meja ini ialah kain penutup yang sangat putih yang tiada tandingan dengan
apa-apa pun di dunia.
Semua jenis
makanan yang sedap sudah tersedia di atas meja. Kami melihat anggur sebesar
buah limau di sana dan Tuhan Yesus membenarkan kami untuk merasanya. Kami masih
mengingat rasanya. Ianya sangat nikmat sekali! Saudara sekalian, anda tidak
dapat membayangkan betapa hebatnya semua benda yang sudah tersedia di dalam
Kerajaan Syurga dan apa yang Tuhan sudah sediakan bagi anda. (1 Korintus 2:9)
Tuhan juga
mengajak kami melihat sejenis roti di atas meja itu yang dipanggil Manna.
Ia adalah roti dari Tuhan seperti yang ada ditulis di dalam Alkitab. Selain
itu kami juga diberi peluang untuk merasa banyak makanan-makanan yang sedap
yang tidak wujud di dunia.
Hal-hal yang
baik ini sedang menungu kita sebagai warisan yang tidak dapat musnah dalam Kerajaan
Syurga. Kita akan menikmati makanan yang begitu nikmat sekali apabila kita mewarisi
Kerajaan Syurga. Kami terpegun melihat kerusi-kerusi sudah tersedia di kedua-dua
bahagian meja. Kerusi-kerusi yang cantik ini dituliskan satu nama pada setiapnya.
Kami dapat melihat dengan jelas nama kami pada kerusi itu. Namun nama kami tidak
sama dengan nama duniawi kami. Ianya adalah nama yang tidak siapa yang tahu
kecuali orang yang empunya nama itu. (Wahyu 2:17)
Kami terpegun
dengan Firman Tuhan yang mengatakan namun demikian janganlah bersukacita
karena roh-roh itu takluk kepadamu, tetapi bersukacitalah karena namamu ada
terdaftar di sorga. (Lukas 10:20) Begitu banyak sekali kerusi-kerusi di
sana! Ruangannya juga cukup bagi mereka yang mahu masuk ke dalam Kerajaan Syurga.
Terdapat juga kerusi yang diambil keluar dari meja itu. Ini bermakna orang-orang
sudah lelah melayani Tuhan dan nama mereka dipadam dari Buku Kehidupan dan mereka
disingkirkan dari jemputan ke perjamuan kahwin Anak Domba.
Tuhan juga
membawa kami melihat tokoh-tokoh Alkitab iaitu nabi-nabi yang hebat seperti
yang kita baca dalam kitab. Kami sangat terpegun melihat Abraham. Dia seorang
yang berumur tetapi tidak pada tubuh atau parasnya. Dia seorang yang matang
dalam kebijaksanaannya. Semua rambutnya putih namun ianya seperti utas kaca
atau utas berlian. Kami sangat terkejut apabila melihatnya kelihatan lebih muda
dari kami. Di syurga semua orang akan menjadi muda kembali. Kami juga terpegun
apabila dia bercakap dengan kami. Abraham memberitahu sesuatu yang tidak pernah
kami lupa. Dia memperlawa kedatangan kami ke Kerajaan Syurga dan memberitahu
bahawa kami akan kembali ke sana tidak lama lagi kerana kedatangan Tuhan Yesus
Kristus sudah sangat dekat.